Remaja lemas bantu mangsa banjir: Ibu pelik arwah makan 'nasi dingin'
Bernama
Januari 7, 2021 18:06 MYT
Januari 7, 2021 18:06 MYT
KUALA KRAI: Mohammad Hakimin Mohd Rahim sempat menjamah 'nasi dingin' (nasi semalaman) tengah hari semalam kerana mengejar masa untuk membantu penduduk kampung yang terjejas banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Ibunya, Norazilah Mohamad, 46, berasa pelik kerana anak ketiga daripada enam beradik itu selama ini hanya makan nasi panas dan siapa sangka itulah kali pertama dan terakhir remaja itu makan nasi sebegitu.
Mohammad Hakimin, 20, ditemukan lemas setelah terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua penumpang ke PPS berdekatan dalam kejadian di Kampung Manjor di sini malam tadi.
Norazilah berkata arwah anaknya itu sempat pulang ke rumah pada tengah hari dan memberitahu belum makan nasi lalu mengambil sendiri nasi sejuk dan menggoreng telur.
"Inilah pertama kali dia makan nasi sebegitu. Sejak kecil dia memang suka membantu dan mesra dengan orang Kampung Manjor, setiap kali banjir dia selalu membantu mangsa dan membawa barangan dipindahkan menggunakan perahu untuk ke PPS berdekatan.
"Sehari sebelum penempatan kami dinaiki air, arwah yang baru pulang daripada bermain futsal terus mengejutkan penduduk kampung supaya berkemas untuk berpindah ke PPS apabila melihat air mula naik mendadak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Norazilah berkata petang sebelum kejadian, anak lelakinya itu meminta beliau mengemas barang-barang untuk berpindah ke rumah saudara-mara dengan menaiki perahu yang dipinjam daripada penduduk kampung.
"Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku malam tadi, kawannya ada menghubunginya memberitahu untuk menumpang di PPS berdekatan dan dia segera ke seberang untuk menjemput rakannya itu dengan mendayung perahu.
"Namun, ketika dalam perjalanan rakannya yang berada di dalam perahu tidak menyedari kehilangannya kerana masing-masing berpaling ke arah bertentangan, namun sebaik memandang ke tempat Hakimin, mereka terkejut kerana melihat arwah sudah hilang," katanya.
Selepas dimaklumkan rakan Allahyarham anaknya, suaminya Mohamad Rahim Mohamad Yusof, 53, bersama dua lagi abang kembar Muhammad Hakimin memulakan pencarian pada malam itu juga dan memaklumkan kepada pasukan menyelamat sebelum jasadnya ditemukan kira-kira 8 pagi tadi.
Beliau meluahkan rasa sedih kerana Mohammad Hakimin tidak sempat menghadiri temu duga sebagai anggota polis yang dipohon pada tahun lepas.
Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjor selepas solat asar hari ini.
-- BERNAMA
#banjir kelantan
#remaja
#bantu mangsa banjir
#maut
#pitam
#pengsan
#Mohammad Hakimin Mohd Rahim
#terjatuh sungai
#mendayung perahu
#PPS
#Kampung Manjor