Remaja lelaki tergamak rogol anak saudara sendiri
Adie Sufian Zulkefli
Jun 15, 2020 21:01 MYT
Jun 15, 2020 21:01 MYT
Seorang remaja lelaki tergamak mengingkari amanah untuk menjaga kanak-kanak perempuan yang dipercayai anak saudara sendiri yang ditinggalkan kepadanya dengan melakukan sumbang mahram.
Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada Sabtu lalu, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu didakwa dirogol oleh suspek yang berusia 15 tahun
Kejadian tersebut berlaku di rumah yang terletak di sebuah kawasan perumahan sekitar bandaraya ini yang mana mangsa ditinggalkan bersama suspek.
Kanak-kanak perempuan berkenaan yang melalui detik hitam dalam hidupnya itu menceritakan kejadian itu kepada ibunya sebelum membuat laporan di balai polis berhampiran petang semalam.
Mangsa juga telah dibawa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada Isnin untuk menjalani pemeriksaan.
Difahamkan kanak-kanak itu kini dalam keadaan trauma disebabkan kejadian itu.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, susulan daripada laporan yang dibuat ibu mangsa, suspek kini ditahan untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (A) Kanun Keseksaan kerana merogol.