Remaja lelaki meninggal dunia selepas impian ditunaikan
Sinar Harian
Januari 4, 2024 06:30 MYT
Januari 4, 2024 06:30 MYT
SHAH ALAM: Impian seorang remaja lelaki yang ingin bertemu dengan pemain e-Sports, Soloz atau Fariz Zakaria dan Daddy Hood yang lebih dikenali Nureddy Nursal pada jam 3.30 petang Khamis tercapai dengan bantuan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Walau bagaimanapun, Muhammad lrfan Aizad Ishak, 17, telah disahkan meninggal dunia pada jam 8 malam Khamis akibat penyakit tuberkulosis usus.
Ibu kepada remaja berkenaan dalam hantaran di Facebook Children Wish Society Malaysia (CWS) berkata, Irfan yang baru pulang dari hospital menerima kejutan apabila kedua-dua idola itu melakukan kunjungan ke rumahnya.
Pertemuan selama lebih setengah jam itu turut diisi dengan sesi perkongsian dan petua permainan e-Sports.
“Dia berada di hospital selama dua bulan, namun tidak pernah tersenyum tetapi hari ini dia tersenyum.
“Irfan sebelum ini pernah terlibat dalam permainan dalam talian apabila kesihatannya dalam keadaan baik,” katanya pada Khamis.
Sementara itu, Presiden persatuan tersebut, Teoh Teik Hong berkata, respons yang diterima oleh Hannah dan dua pemain e-Sports tersebut memberi sinar kepada remaja itu.
Tambah beliau, mereka sangat bertuah dapat melihat wajah gembira dan senyuman Irfan kembali bersinar.
"Kami berterima kasih kepada Hannah, Med, Soloz, Daddy Hood kerana membalas hasrat Irfan dengan begitu pantas.
"Ini benar-benar dalam semangat menjadi rakyat Malaysia. Dan kami bertuah kerana menjadi penerima senyuman Irfan hari ini," katanya. - Sinar Harian