Remaja lelaki lemas mandi di pusat rekreasi
Adie Sufian Zulkefli
September 7, 2022 16:40 MYT
September 7, 2022 16:40 MYT
PADANG TERAP: Kegembiraan sekumpulan remaja yang sedang mandi-manda bertukar menjadi tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas di air terjun Puncak Janing, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa, Mohd Apnan Mohd Rais, 17, dari Simpang Makam Diraja Langgar, Alor Setar, ditemukan lemas pada pukul 1.12 tengah hari.
"Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kuala Nerang tiba di lokasi mendapait mangsa tenggelam di kawasan lubuk.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan menggunakan kaedah "griping iron" di kawasan dipercayai mangsa lemas dan berjaya menemui mayat mangsa di dasar sungai,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Menurut Mohamadul Ehsan, mangsa dibawa keluar daripada pusat rekreasi itu dengan menggunakan pengusung sebelum di serahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.