Remaja lelaki lemas di Sungai Kampung Lata Pauh

Bernama
September 7, 2024 19:10 MYT
Mayat dibawa keluar menggunakan pengusung melalui jalan berbatu kira-kira dua kilometer dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. - Gambar/ JBPM
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun lemas di Sungai Kampung Lata Pauh, Kuala Krai, hari ini.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Razani Mamat berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada 1.16 tengah hari.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi pada 1.59 tengah hari, mangsa iaitu Mohamad Azri Aiman Rosli didapati tidak sedarkan diri dan telah dibawa naik ke daratan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.
"Pasukan operasi turut memberi bantuan penafasan sebelum remaja itu disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan.
Mayat dibawa keluar menggunakan pengusung melalui jalan berbatu kira-kira dua kilometer dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA
#Sungai Kampung Lata Pauh #Kuala Krai #kes lemas #remaja lemas
;