Remaja lelaki korban pertama tengkujuh di Kelantan
Muhafandi Muhamad
November 24, 2020 16:33 MYT
November 24, 2020 16:33 MYT
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki menjadi korban pertama musim tengkujuh di Kelatan apabila lemas di tali air di Kampung Telaga Bata, Sering, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam kejadian jam 10 pagi itu, Mohd Alif Asyraf Parudin, 13, dipercayai keluar bersama dua rakannya untuk mandi di kawasan berkenaan sebelum tenggelam.
Difahamkan, hujan lebat yang berterusan menyebabkan arus deras selain ada kawasan rendah dinaiki air berhampiran kampung berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dengan segera sebaik mendapat maklumat mengenai kejadian itu.
"Mayat mangsa ditemui pada jam 10.43 pagi oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat remaja terbabit dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat," katanya.
Dalam kejadian lain, seorang kanak-kanak lelaki turut terjatuh di dalam sungai di Kampung Chepor Dalam, di Ipoh, dekat sini, pagi tadi sebelum dihanyutkan arus.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 10.47 pagi dan sehingga jam 4 petang tadi, operasi SAR masih dijalankan untuk mengesan mangsa.
#lemas
#tengkujuh
#Sering
#kampung telaga
#Kota Bharu
#Kelantan
#mangsa
#tenggelam
#arus deras
#telaga bata