Remaja lelaki korban kedua banjir di Kelantan

Bernama
Februari 27, 2022 00:11 MYT
Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok di sini pada 7.15 malam tadi. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok di sini pada 7.15 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Mohamad Fazli Tamri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kiat di sini, dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu pada 6.20 petang.
"Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan untuk meminta pertolongan.
"Operasi mencari berjaya menemukan mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
BACA: Warga emas 70 tahun korban pertama banjir Kelantan
Muhamad Zaki berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.
Terdahulu, seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang turut ditemukan lemas hari ini di Kampung Kuala Gris dekat Dabong, Kuala Krai pada 7 malam.
-- BERNAMA
#remaja lelaki #korban banjir #korban kedua #banjir kelantan #Kampung Talang #Kadok
;