Remaja lelaki hilang di Sungai Ketil

Adie Sufian Zulkefli
Februari 28, 2024 11:15 MYT
Pasukan penyelamat melakukan kerja pencarian mangsa yang hilang di Sungai Ketil, Baling, pada Selasa.
BALING: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Ketil, di Kampung Kuala Merah, Kuala Ketil, di sini, petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian ada seorang pelajar lemas dibawa arus pada jam 6.29 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Jusoh Abdul Wahab bersama enam anggota tiba di lokasi untuk melakukan pencarian.
"Sebaik tiba di lokasi didapati, remaja lelaki itu dikhuatiri lemas dan hanya motosikal mangsa ada di tebing sungai.
"Tindakan awal yang dilakukan adalah dengan melakukan pencarian di permukaan air di sepanjang lokasi mangsa terjatuh dan di kawasan sungai itu.
“Namun operasi mencari Muhamad Fakhrullah Mohamad, 15, ditangguhkan selepas cuaca gelap dan disambung semula jam 7 pagi tadi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Mohd Jamil berkata, operasi pada hari ini tertumpu di kawasan mangsa dilaporkan terjatuh.
Beliau berkata, operasi turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba dan dibantu Unit Anjing Pengesan (K-9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
#remaja hilang #Sungai Ketil #Kampung Kuala Merah #BBP Baling
;