Remaja lelaki hilang di Kampung Temalir, Kuala Krai ditemukan

Bernama
Disember 17, 2022 15:20 MYT
Remaja berusia 18 tahun itu ditemukan di kebun getah berhampiran rumahnya 10 pagi tadi dalam keadaan terpinga-pinga selain mengalami luka dan calar di seluruh anggota badan.
KUALA KRAI: Seorang remaja lelaki yang hilang selepas melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumahnya di Kampung Temalir, Selasa lepas, ditemukan dalam keadaan lemah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata remaja berusia 18 tahun itu ditemukan di kebun getah berhampiran rumahnya 10 pagi tadi dalam keadaan terpinga-pinga selain mengalami luka dan calar di seluruh anggota badan.
"Mangsa ditemukan pasukan keselamatan pada jarak 200 meter dari lokasi dia dipercayai hilang dan kemudiannya dibawa pulang ke rumahnya untuk diberikan rawatan oleh keluarganya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata seramai 42 anggota pasukan keselamatan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menyertai operasi mencari dan menyelamat dengan dibantu penduduk kampung dan Unit Anjing Pengesan (K9) JPBM.
-- BERNAMA
#remaja hilang #Bomba Kuala Krai #Kampung Temalir #sesat di hutan
;