Remaja lelaki ditemukan lemas ketika mandi di sungai

Sinar Harian
Jun 10, 2022 06:45 MYT
Anggota bomba mengangkat mayat seorang remaja lelaki yang lemas di Sungai Lagong, Selayang pada Jumaat. -Foto Sinar Harian
SELAYANG: Seorang remaja lelaki meninggal dunia selepas ditemukan lemas ketika mandi di Sungai Lagong, di sini pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Selayang dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan pada jam 2.25 petang.
"Mangsa dikenali Muhammad Alif Nasir Alias berusia 17 tahun ditemui pada jam 3.15 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Mangsa dibawa naik ke darat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Norazam berkata, siasatan awal mendapati mangsa mandi di sungai terbabit bersama empat rakan.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.
*Berita asal disiarkan di Sinar Harian
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Sungai Lagong #remaja lelaki lemas #Muhammad Alif Nasir Alias
;