Remaja lelaki ditemukan lemas di Air Terjun Batu Berangkai

Amirrul Rabbani
September 6, 2022 17:35 MYT
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar mendapati remaja berusia 16 tahun itu telah cuba diselamatkan orang awam. - Foto JBPM
KAMPAR: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan lemas di kawasan rekreasi Air Terjun Batu Berangkai dekat sini pada Selasa.
Luqman Hakim Ismail Sukri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.52 pagi.
Katanya sejurus selepas itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kampar telah ke lokasi kejadian dan mendapati remaja berusia 16 tahun itu telah cuba diselamatkan orang awam.
“Anggota bomba membantu mengangkat mangsa dari tebing sungai ke atas. Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan mangsa meninggal dunia.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Hisyam Zakariah itu tamat kira-kira jam 12.46 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, terdahulu mangsa telah datang bersama-sama dua rakan serta seorang bekas gurunya kira-kira jam 11.30 pagi.
“Mangsa dikatakan orang pertama yang berenang ke air terjun serta terus ke kawasan dalam, sementara rakan-rakan dan bekas gurunya sedang mengangkat barang.
“Kemudian, mangsa tiba-tiba tenggelam di kawasan tengah air terjun tersebut sebelum hilang.
“Bekas gurunya telah memanggil mangsa tetapi tiada jawapan sementara rakan yang lain cuba berenang untuk mencari mangsa tetapi tidak berjaya untuk membawa mangsar keluar dari air yang dalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ujarnya lagi, bekas guru mangsa kemudiannya meminta bantuan penduduk kampung dan menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian berkenaan.
Tambah Mohamad Nazri, mayat mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh penduduk kampung yang datang membantu.
“Pihak bomba telah memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati kawasan berkenaan merupakan kawasan berisiko dan kerap berlaku kematian.
“Hasil pemeriksaan pada badan mangsa, tidak terdapat kesan berlaku jenayah dan mangsa dipercayai maut akibat lemas,” jelas beliau lagi.
Katanya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
#remaja lemas #Air Terjun Batu Berangkai #Kampar #bomba perak
;