Remaja lelaki ditahan bawa kerambit, buku lima
Sinar Harian
Oktober 14, 2018 16:00 MYT
Oktober 14, 2018 16:00 MYT
Tindakan berani seorang remaja membawa sebilah kerambit dan sebentuk besi buku lima ketika melepak di tepi jalan mengundang padah apabila ditahan polis di Chendering, di sini, pagi Ahad.
Remaja lelaki berusia 17 tahun dari Kampung Wakaf Paya, di sini, ditahan jam 7.15 pagi di tepi jalan di, Chendering, di sini.
Menurut sumber, sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menahan remaja itu kerana ketika itu kelihatan mencurigakan.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke dalam beg dibawanya menjumpai sebilah kerambit dan sebentuk besi buku lima berwarna keemasan yang diselitkan di dalam zip.
"Suspek bagaimanapun memberi alasan sekadar membawa senjata itu dan bukannya untuk melakukan jenayah selain tidak mengetahui adalah satu kesalahan sekiranya membawa senjata berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.
Dia ditahan di bawah Seksyen 7(1) (a) Akta Barangan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1953.
Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan remaja itu direman tiga hari untuk siasatan lanjut.