Remaja lelaki direman enam hari dakwaan tikam rakan universiti hingga parah

Adie Sufian Zulkefli
Mac 18, 2025 13:18 MYT
Remaja lelaki yang dipercayai menikam rakan universiti direman enam hari bagi membantu siasatan. -Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang penuntut perempuan sebuah universiti tempatan di sini, pada Isnin.

Ringkasan AI
  • Seorang remaja lelaki direman enam hari untuk membantu siasatan kes mencederakan seorang penuntut perempuan universiti tempatan.
  • Mangsa mengalami kecederaan akibat tikaman di beberapa bahagian badan dan kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.
  • Suspek, yang dipercayai bekas teman lelaki mangsa, mengalami kecederaan di tangan dan kini ditahan di wad dengan pengawasan polis.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Mahkamah Sungai Petani, M. Kalairasi terhadap suspek berusia 19 tahun itu di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani bermula hari ini hingga 23 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, suspek mengalami kecederaan di tangan kanan akibat tertikam pisau ketika bergelut dengan mangsa.
Katanya, suspek kini ditahan di wad dengan pengawasan polis dan akan dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Wan Azharuddin, siasatan polis mendapati mangsa berusia 19 tahun itu mengalami kecederaan akibat tikaman di beberapa bahagian belakang badan dan leher dan pada hari ini dilaporkan stabil dan sedar.
“Mangsa telah sedar selepas menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.
“Kita juga telah merakam keterangan suspek dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
"Polis turut akan merekod keterangan daripada mangsa selepas mangsa stabil dan beberapa saksi di tempat kejadian untuk polis melengkapkan siasatan,” katanya.
Semalam Astro AWANI melaporkan seorang penuntut perempuan sebuah universiti di Merbok cedera parah ditikam seorang penuntut lelaki yang tidak berpuas hati berhubung isu peribadi di hadapan sebuah tandas di universiti berkenaan.
Mangsa dikatakan dihampiri oleh suspek yang dipercayai bekas teman lelakinya sebelum bertindak menikam belakang badan mangsa berulang kali menyebabkan mangsa rebah.
Suspek difahamkan tidak berpuas hati dengan mangsa kerana memutuskan hubungan mereka yang terjalin sejak sama-sama belajar dan tinggal di Butterworth.
#penuntut perempuan universiti tempatan #tikam rakan universiti #bekas teman lelaki mangsa #reman enam hari
;