Remaja lelaki dipercayai hilang ketika mandi di Sungai Lembing
Azee Shafy
Mei 6, 2022 18:19 MYT
Mei 6, 2022 18:19 MYT
KUANTAN: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dipercayai hilang ketika mandi di Sungai Lembing di Kawasan Rekreasi dan Perkelahan Pasir Puteri, petang Jumaat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.35 petang, dan seramai enam pegawai bersama 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, mangsa, Amirun Mohamad yang beralamat Bandar Cheneh Baru, Kemaman dipercayai bersama keluarga berkelah di sini sempena cuti Aidilfitri.
"Dipercayai, mangsa bersama dua lagi rakan mandi di kawasan perkelahan ini sebelum mangsa dikhuatiri hilang di sungai terbabit.
"Anggota bomba sedang melakukan operasi pencarian menggunakan teknik 'surface searching'. Pasukan dari Unit PPDA dari Balai Bomba Kuantan dan Pekan juga diarahkan ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, ahli keluarga turut kelihatan di kawasan tersebut untuk menunggu mangsa ditemukan.
Katanya, sehingga kini operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
#remaja lelaki
#hilang
#mandi sungai
#Sungai Lembing
#Pasir Puteri
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang
#JBPM Pahang
#Amirun Mohamad
#Aidilfitri