Remaja lelaki dikurung, diliwat selepas diumpan bantuan kerja

Sinar Harian
September 13, 2023 17:52 MYT
Mangsa dikurung di rumah suspek selama 10 hari, di mana sepanjang tempoh itu mangsa turut diliwat beberapa kali. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Nasib malang menimpa seorang remaja lelaki apabila menjadi mangsa liwat dan dikurung selepas diumpan dengan bantuan mencari pekerjaan oleh individu yang dikenali melalui aplikasi dalam talian.
Menurut sumber, pada awalnya mangsa yang berusia 18 tahun itu ditawarkan bantuan mencari pekerjaan oleh seorang lelaki pada Julai lalu.
"Selepas beberapa hari berkenalan, mangsa dan suspek kemudian bertemu pada pertengahan bulan lalu untuk mencari pekerjaan.
"Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa bersetuju dan menaiki kenderaan suspek yang mengambilnya di rumah mangsa di Bukit Jalil," katanya.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa bermalam ke rumah suspek di Kampung Pandan, di sini, dan berjanji akan membawanya ke sebuah pasar raya untuk mendapatkan pekerjaan.
"Seperti dijanjikan suspek membawa mangsa ke pasar raya itu untuk mencari pekerjaan terbabit sebelum membawanya pulang semula ke rumah lelaki itu.
"Bagaimanapun ketika berada di rumah suspek, mangsa diarahkan melakukan kerja rumah dan tidak dibenarkan pulang," katanya.
Sumber berkata, mangsa dikurung di rumah terbabit selama 10 hari, di mana sepanjang tempoh itu mangsa turut diliwat beberapa kali.
"Mangsa kemudian diugut tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa sebelum dia dibenarkan pulang ke rumah," katanya.
Kata sumber, mangsa yang trauma dan ketakutan hanya menceritakan kejadian itu kepada keluarganya baru-baru ini sebelum mereka membawanya membuat laporan polis, pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
"Suspek sudah dikenalpasti dan kita siasatan masih lagi berjalan. Kita dalam proses pengesahan keterangan mangsa dan menunggu hasil pemeriksaan doktor," katanya. -Sinar Harian
#liwat #pencari kerja #aplikasi dalam talian #Seksyen 377C Kanun Keseksaan
;