Remaja lelaki acu pisau cuba samun pemandu e-hailing

Adie Sufian Zulkefli
November 28, 2023 10:20 MYT
Pemandu e-hailing selamat setelah cuba menggigit tangan penumpang remaja itu, menyebabkan suspek bertindak melarikan diri. - Foto polis
SUNGAI PETANI: Seorang pemandu e-hailing warga emas berdepan saat cemas diacu sebilah pisau oleh seorang remaja lelaki dalam kejadian di Taman Keladi, di sini, semalam.
Pemandu berusia 65 tahun itu bagaimanapun terselamat setelah cuba menggigit tangan remaja berusia 13 tahun tersebut, menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Zaidy Che Hassan berkata, kejadian lebih kurang jam 5.43 petang itu dipercayai bermula setelah pemandu berkenaan menerima pesanan mengambil penumpang di Taman Keladi untuk dihantar ke Bandar Sri Astana.
Menurutnya, semasa dalam perjalanan ke Bandar Sri Astana, penumpang tersebut meminta untuk meminjam wang sebanyak RM50 bagi membayar sewa rumah.
"Pemandu itu memberitahu, sekiranya tidak mempunyai wang, suspek terpaksa diturunkan di lokasi yang dijanjikan.
"Namun, suspek enggan dan minta pemandu itu membawanya ke rumah di Bandar Sri Astana untuk mengambil wang bagi membayar perkhidmatan Grab.
"Bagaimanapun, apabila sampai di Bandar Sri Astana, dia telah minta untuk membawanya semula ke Taman Keladi.
"Terdahulu, warga emas itu telah menerima bayaran sebanyak RM18, sebelum remaja itu melengah-lengahkan sehingga meminta melalui ke beberapa lorong kecil," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Disebabkan laluan tambahan, remaja itu kemudian diminta menambah bayaran sebanyak RM9 ketika sampai ke destinasi.
"Penumpang tersebut memberikan wang RM20 namun semasa pemandu mahu memulangkan bakinya, dia mengacukan sebilah pisau ke dada warga emas tersebut dan mahu merampas wang dari poketnya.
"Tindakan pantas warga emas tersebut berjaya merampas pisau serta menggigit tangan remaja itu untuk mempertahankan diri menyebabkan suspek kemudian melarikan diri,"katanya.
Jelasnya, dalam kejadian itu, pemandu warga emas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Difahamkan, remaja terbabit merupakan anak sulung dari empat beradik dan bukan dari keluarga yang berpecah.
"Punca suspek bertindak sedemikian adalah kerana berasa marah dengan pengadu disebabkan dia dimaki, dan dia cuba mengambil semula wang bayaran tambang.
"Terdapat rakaman melalui 'dashcam' yang dipasang dalam kenderaan e-hailing berkenaan," katanya.
Menurut Zaidy, laporan polis dibuat sekitar jam 8 malam dan remaja berkenaan ditahan dua jam kemudian.
Katanya, polis turut merampas sebilah pisau berhulu hitam panjang lebih kurang 25 sentimeter yang dipercayai digunakan remaja itu ketika kejadian.
Remaja itu direman sehari dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.
#pemandu e-hailing #samun #remaja #cubaan merompak
;