Remaja lelaki 14 tahun dilaporkan hilang di Muar

Bernama
Julai 29, 2024 14:44 MYT
Raiz Mukhliz berkata remaja berkenaan Muhammad Effzaldanish, ketika dilaporkan hilang berpakaian seragam sekolah menengah iaitu kemeja putih dan berseluar hijau lumut. - Gambar Sinar Harian
MUAR: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dilaporkan hilang dipercayai ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumahnya di Jalan Kerayong Rumah Rakyat 1, Pagoh di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata remaja berkenaan Muhammad Effzaldanish Mohd Effendy, ketika dilaporkan hilang berpakaian seragam sekolah menengah iaitu kemeja putih dan berseluar hijau lumut.
"Laporan kehilangan remaja itu dibuat ahli keluarganya hari ini. Sehubungan itu polis meminta kerjasama orang ramai bagi membantu mengesan remaja berkenaan.
"Remaja berkenaan dianggarkan berketinggian 160 sentimeter dan berat 50 kilogram, selain mempunyai bentuk badan yang kurus, rambut lurus serta berkulit sawo matang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor P. Seventy menerusi talian 011-16251909 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Muar 06-9564800.
Difahamkan remaja itu tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan semalam, setelah tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh yang jaraknya hanya 200 meter dari kediamannya.
-- BERNAMA
#rambut lurus #balai polis #sesi persekolahan #Orang ramai