Remaja keluar beli roti tidak pulang sejak 19 Ogos

Bernama
Ogos 28, 2024 19:36 MYT
Abang Zainal Abidin berkata remaja itu dikenali sebagai Nur Akila Mohammad Rafi Kumar beralamat di Hala Bercham Timur 4, Taman Pakatan. - Gambar Sinar Harian
IPOH: Polis meminta bantuan orang ramai mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang oleh ibunya sejak 19 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata remaja itu dikenali sebagai Nur Akila Mohammad Rafi Kumar beralamat di Hala Bercham Timur 4, Taman Pakatan, di sini.
Beliau berkata remaja itu meminta kebenaran ibunya untuk membeli roti di kedai berhampiran rumahnya namun dia tidak pulang hingga kini.
"Hasil siasatan dengan individu di kedai runcit tersebut, mereka mendakwa tidak nampak mangsa datang ke situ. Tiada sebarang perselisihan faham antara remaja itu dengan keluarganya," katanya ketika dihubungi.
Abang Zainal Abidin berkata Nur Akila kali terakhir dilihat memakai baju T dan seluar berwarna hitam dan berkulit sawo matang serta mempunyai berat badan 50 kilogram dengan ketinggian 170 sentimeter.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai kes Sarjan Mohamad Azlan Mohd Noor di talian 019-5141791 atau boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
-- BERNAMA
#kedai runcit #berat badan #pegawai kes #Remaja perempuan
;