Remaja jatuh sungai ditemukan lemas
Bernama
Jun 2, 2024 15:10 MYT
Jun 2, 2024 15:10 MYT
SARIKEI: Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Lemujan, Pakan dekat sini pada hari pertama sambutan perayaan Hari Gawai semalam ditemukan lemas oleh orang awam pagi tadi.
Ringkasan AI
- Remaja lelaki Vincent Tiong Meng Wei, 13, dilaporkan hilang di Sungai Lemujan, Pakan pada hari pertama perayaan Hari Gawai selepas dikatakan terjatuh ke dalam sungai itu pada jam 11.15 pagi.
- Mayat Vincent ditemukan lemas oleh orang awam pada jam 8.40 pagi, 50 meter ke hilir dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
- Mayat Vincent dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat, kata Ketua Polis Daerah Julau, DSP Andam@Sulin Brayun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Nicholas Belulin berkata mayat Vincent Tiong Meng Wei, 13, ditemukan pada 8.40 pagi pada jarak 50 meter ke hilir dari lokasi remaja itu dilaporkan terjatuh ke dalam sungai tersebut.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pihak polis dan keluarga mangsa, pada hari kejadian Tiong dikatakan terjatuh semasa turun ke Sungai Lemujan, Lepa Antu pada lebih kurang 11.15 pagi.
"Namun tiada saksi melihat mangsa jatuh, hanya jeritan suara mangsa dari arah sungai.
"Keluarga bertindak mengesan sendiri mangsa dan hanya menjumpai seliparnya hanyut tidak jauh dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam@Sulin Brayun ketika dihubungi berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.
-- BERNAMA