Remaja jatuh lombong meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital

Bernama
September 5, 2017 22:43 MYT
Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan anggota bomba dan penduduk kampung telah membuat pertolongan cemas (CPR) pada 4.42 petang.- Gambar hiasan
Seorang remaja lelaki yang tidak sedarkan diri selepas terjatuh di kawasan lombong berhampiran Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, dekat sini disahkan meninggal dunia di dalam perjalanan ke Hospital Taiping petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mohamad Rizuan Mohamad Yazid, 18, difahamkan pergi memancing bersama rakan-rakannya dan dipercayai mangsa tergelincir ketika turun untuk mengambil joran yang tersangkut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Muhammad Yassir Adnan berkata sepasukan enam anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada 4.32 petang tadi.
Katanya, mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan anggota bomba dan penduduk kampung telah membuat pertolongan cemas (CPR) pada 4.42 petang.
"Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika ditemui di tempat kejadian petang tadi.
--BERNAMA
#bomba #lelaki #lombong #meninggal dunia #remaja #Taiping
;