Remaja jalani PdPR ambil upah cuci periuk, tampung ibu uzur

Muhafandi Muhamad
Jun 25, 2021 15:51 MYT
Nik Mohamad Alis Nik Abd Rashid menggalas tugas menjaga ibunya, Nik Jah Yusoff yang diserang angin ahmar sejak tiga tahun lalu. - Foto Astro AWANI
KOTA BHARU: Bukan sahaja menjalankan tugas sebagai pelajar sekolah menengah, sebaliknya turut memikul tanggungjawab menjaga ibu sakit, memasak dan mencari wang perbelanjaan untuk makan minum.
Nik Mohamad Alis Nik Abd Rashid, 16, menggalas tugas menjaga ibunya, Nik Jah Yusoff, 53, yang diserang angin ahmar tiga tahun lalu.
Remaja berkenaan turut mengambil upah mencuci pinggan di sebuah kedai makan dengan upah RM10-15 sehari untuk membeli barangan keperluan rumah.
Nik Mohamad terpaksa berdikari terutamanya selepas ayahnya Abd Rashid Nik Jusoh, 57, meninggal dunia dua hari sebelum 1 Syawal lalu.
“Duit ada sedikit sebab saya kerja petang, ambil upah basuh periuk di kedai depan rumah kakak.
Kelangsungan Hidup | Remaja 16 tahun pikul tanggungjawab sara keluarga
"Kadang-kadang, saya dapatlah meraih pendapatan RM10 atau RM15 sehari sebagai upah membasuh untuk tempoh lebih kurang 90 minit.
“Tidak ganggu pun (PdPR) sebab pagi uruskan mak kalau, mandi sebagainya.
“Kemudian pukul 8 pagi saya mula belajar dan buat apa yang diperlukan mak, kemudian saya sambung PdPR semula,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Ibunya, Nik Jah mempunyai seorang lagi anak tiri yang turut datang membantu sekali-sekala.
Namun, segala makan minum dan persiapan dirinya termasuk mandi dan sebagainya diuruskan oleh Nik Mohamad.
“Saya sedih juga sebab dia (Nik Mohamad Alis) masih lagi belajar, kini terpaksa buat kerja dan kena jaga saya. Saya lagi sedih apabila tengok dia, keadaan kami sudah memang sebegini.
“Kami ada terima bantuan dari Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang datang ke rumah, tetapi wakil rakyat tak ada pula,” katanya.
Nik Mohamad bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan dan terpaksa membahagikan masa untuk PdPR, bekerja dan menguruskan rumah.
Rumah yang didiami dua beranak ini juga daif dengan kadar sewa RM250 sebulan.
Bagaimanapun, mereka bersyukur kerana tidak terputus bekalan makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan kerana Nik Mohamad Alis masih boleh mengambil upah membasuh periuk di kedai makan berhampiran.
Terdahulu, Nik Jah menerima sebuah kerusi roda yang disumbangkan oleh wakil dari Hotel The Grand Renai di Kota Bharu.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan, boleh melakukan sedemikian ke akaun bank BSN, Nik Mohamad Alis Nik Ab. Rashid (0301-0411-0010-1797) atau menghubunginya di talian 017-517-2270.
#Sijil Pelajaran Malaysia #SPM #perintah kawalan pergerakan #Kota Bharu #peperiksaan #PdPR #jaga ibu stroke #pelajar kerja cuci periuk #upah cuci periuk
;