Remaja jadi mangsa lemas pertama akibat banjir di Johor

Astro Awani
Disember 17, 2019 15:58 MYT
Difahamkan mangsa sedang bermain air banjir di halaman rumah dan tergelincir ke dalam parit sedalam kira-kira 4.2 meter. - Foto Astro AWANI
Seorang remaja lelaki menjadi mangsa lemas pertama dalam kejadian banjir di Johor tahun ini.
Mangsa, Muhd Danis Irfan, 16, lemas selepas tergelincir ke dalam parit ketika bermain air di halaman rumahnya di Kampung Parit Haji Dol Salam, Sungai Limau, Simpang Renggam di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusof berkata pihaknya menerima panggilan jam 2 petang sebelum menggerakkan sembilan anggota bersama jentera ke lokasi kejadian.
Katanya, difahamkan mangsa sedang bermain air banjir di halaman sebuah rumah di kampung itu dan dipercayai tergelincir ke dalam parit sedalam kira-kira 4.2 meter.
Pihak bomba dihubungi selepas usaha mencari selama 10 minit gagal.
Katanya lagi, setiba bomba di tempat kejadian, mangsa telah dijumpai oleh penduduk kampung menggunakan jala ikan.
Mangsa kemudian diserahkan keapda pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
#air #bermain air banjir #bomba #lemas #lemas Johor #Muhd Danis Irfan #parit #remaja lelaki
;