Remaja hilang selepas terjatuh di tepi Pantai Bachok
Bernama
Januari 11, 2019 22:54 MYT
Januari 11, 2019 22:54 MYT
Seorang remaja dikhuatiri hilang selepas tergelincir dan jatuh di tepi pantai sebelum dibawa ombak dalam kejadian di Pantai Kemayang di sini, petang Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) ,Yus Heary Mahmud berkata, mangsa Muhammad Fakri Amin Mohamad Asri,13, berdiri di atas batu benteng pemecah ombak sebelum tergelincir pada kejadian jam 6.15 petang.
"Kakaknya Noor Attiah, 20, dan seorang lagi rakannya cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal disebabkan ombak besar," katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, pihaknya melancarkan gerakan mencarinya selepas menerima panggilan jam 6.19 petang dan menghentikannya operasi jam 7 petang kerana cuaca gelap.
Yus Heary berkata, mangsa yang berasal dari Lundang, Kota Bharu, datang ke situ bersama keluarga untuk beriadah.
-- BERNAMA