Remaja hilang lepas hantar baju kepada rakan
Norfarhiza Mohd Atar
Mei 28, 2022 08:06 MYT
Mei 28, 2022 08:06 MYT
LIPIS: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang setelah dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Tanjong Besar, Kuala Kenong, dekat sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata, Siti Norfatimah Md Idin dipercayai keluar dari rumahnya pada pukul 9 pagi 25 Mei untuk menghantar baju kepada rakan di stesen kereta api Batu 9.
Dia kemudiannya tidak pulang ke rumah sehingga kini.
Menurut Azli, remaja berkenaan dipercayai dilihat kali terakhir oleh bapa saudaranya bernama Ahmad Man yang tinggal berdekatan rumah mangsa.
"Menerusi aduan yang kita terima, mangsa telah dihantar oleh bapa saudaranya itu ke stesen kereta api Batu 9 kerana hendak menghantar baju kepada rakannya.
"Setelah tiba di stesen kereta api itu, Siti Norfatimah meminta Ahmad pulang dahulu ke rumah sambil memberitahu, bapanya akan datang menjemputnya kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Azli berkata, berikutan anaknya tidak pulang ke rumah menjelang malam, bapa remaja terbabit, Md Idin Man, seorang penoreh getah, bertindak membuat laporan polis semalam.
"Menyedari Siti Norfatimah tidak pulang menjelang malam, bapanya mula mencari di merata tempat dengan bantuan penduduk Kuala Kenong, termasuk bertanyakan kepada rakannya.
"Kemudian, setelah usaha mencari gagal, bapanya membuat aduan polis. Kes diklasifikasi sebagai orang hilang. Polis telah membuka kertas siasatan untuk menjejaki remaja tersebut," ujarnya.
Orang ramai yang melihat atau menemui remaja perempuan itu diminta menyalurkan maklumat ke IPD Lipis menerusi talian 09 3122222 (Inspektor Muhammad Faiz Arif Pauzi) atau mana-mana balai polis berhampran.