Remaja hilang ditemukan lemas di Sungai Besut
Bernama
Mei 18, 2024 14:50 MYT
Mei 18, 2024 14:50 MYT
JERTIH: Seorang remaja lelaki yang tenggelam ketika mandi di Sungai Besut di Kampung Tanjung Lali, dekat Kampung Raja di sini kira-kira 5 petang semalam, ditemukan mati lemas pagi ini.
Komander Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Mohamad Jusoh berkata mayat Wan Muhammad Irfan Wan Badrin,18, ditemukan 500 meter dari lokasi kejadian pada pukul 9 pagi tadi.
"Mayat dijumpai tersangkut pada beting pasir di permukaan air yang cetek oleh pasukan SAR yang melakukan pencarian sejak petang semalam sebelum disambung pagi ini.
"Mayat mangsa yang berasal dari Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Mohamad berkata operasi SAR tersebut melibatkan seramai 23 anggota bomba, masing-masing sembilan anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam serta dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia.
-- BERNAMA