Remaja hilang dikhuatiri lemas di Tanjung Balau

Siti Nur Aqilla Omar
September 9, 2022 12:10 MYT
Tiga mangsa iaitu remaja perempuan berusia 13 tahun telah diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi. - Foto JBPM
KOTA TINGGI: Seorang remaja masih hilang, dua tidak sedarkan diri manakala tiga lagi remaja dilaporkan selamat selepas menyertai aktiviti mandi-manda di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, di sini, pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Mohd Hazmi Zulkafli berkata panggilan berhubung insiden diterima pihaknya pada jam 8.39 pagi tadi.
Katanya mangsa yang masih hilang ialah remaja perempuan berusia 13 tahun.
"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat enam orang mangsa telah lemas ketika sedang mandi di pantai.
"Tiga mangsa iaitu remaja perempuan berusia 13 tahun telah diselamatkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
"Dua mangsa iaitu remaja lelaki berusia 12 tahun dan remaja perempuan 14 tahun, telah dijumpai oleh pihak Bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri. Manakala seorang remaja perempuan 13 tahun masih tidak dijumpai.
"PKO bertindak membawa naik dua mangsa dan memberikan rawatan awal bantuan pernafasan seterusnya menghantar ke Klinik Kesihatan Penawar dengan menggunakan jentera EMRS," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Hazmi, tiga mangsa yang selamat telah dibawa ke Klinik dengan menaiki Ambulans KKM.
"PKO bertindak membuat pencarian seorang mangsa yang masih belum dijumpai dengan menggunakan kaedah 'Surface Searching' pada jarak lebih kurang 80 meter dari persisiran pantai," katanya.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa hilang masih diteruskan.
#lemas #mandi #hilang #Pantai Tanjung Balau
;