Remaja hilang, Daniel Akmal ditemui dalam keadaan lemah

Sinar Harian
Disember 9, 2023 13:36 MYT
Muhammad Daniel dikatakan bertindak nekad melarikan diri dari sekolah jam 3 pagi pada Khamis. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kehilangan pelajar sebuah sekolah berasrama penuh, Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi, 14, membongkar kisah di sebalik kejadian itu apabila dia mendakwa menjadi mangsa buli.
Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, berkata, anaknya telah ditemui orang awam di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, dekat sini mengakui telah dibuli dengan teruk.
Katanya, akibat kejadian buli itu, Muhammad Daniel yang mesra disapa sebagai Enel bertindak nekad untuk melarikan diri dari sekolah jam 3 pagi pada Khamis.
"Perkara ini telah didedahkan oleh anak saya kenapa dia begitu tekad untuk melarikan diri dari sekolah pada awal pagi itu.
"Enel sudah tidak tahan dan tidak mampu untuk menghadapi perbuatan buli yang sangat teruk dilakukan kepadanya.
"Ini bukan kali pertama Enel dibuli.
"Sebelum ini dia pernah juga dibuli, namun saya dinasihatkan untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik dan tidak mendakwa si pelaku," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
BACA: Polis mohon bantuan kesan remaja lelaki hilang di Cheras
Ekoran kejadian buli yang didakwa berlaku kali ini terhadap Muhammad Daniel Akmal, Shuhada berkata, tindakan perundangan akan diambil oleh pihaknya berhubung kejadian itu.
Tegasnya, tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi memperjungkan nasib anaknya kerana dibuli dengan sangat teruk.
"Ini kali kedua kejadian buli yang sangat teruk berlaku kepada Enel.
"Saya tidak boleh berdiam diri lagi.
"Saya akan 'fight' perkara ini dan mengambil tindakan tegas supaya keadilan dapat ditegakkan," ujarnya.
Sementara itu ditanya mengenai penemuan Muhammad Daniel Akmal, Shuhada berkata, anaknya itu ditemukan dalam keadaan sangat lemah kerana tidak makan.
Menurutnya, Muhammad Daniel Akmal hanya makan sekali sahaja pada hari pertama sejak melarikan diri dari sekolah, sekadar menjamah roti dan minum air yang diberikan oleh seorang individu.
Katanya lagi, Muhammad Daniel Akmal melarikan diri dari asrama sekolah sehelai sepinggang dan tidak membawa dompetnya bersama.
"Ketika bertemu dengan Enel pada malam tadi (Jumaat), dia kelihatan sangat tidak terurus dan seolah-olah macam orang gelandangan.
"Saya tidak pernah melihat Enel sebegitu rupa, namun saya sekeluarga amat bersyukur kerana Enel telah ditemui dalam keadaan selamat," ujarnya. - Sinar Harian
#Daniel Akmal #remaja hilang #Cheras #lari dari asrama
;