Remaja ditemukan lemas selepas terjatuh dalam kuari
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 6, 2022 19:31 MYT
Oktober 6, 2022 19:31 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam kuari Bukit Belah, Tikam Batu, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, anggota bomba menerima panggilan kecemasan pada 4.40 petang dan dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Katanya, tujuh anggota bersama pegawai dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Tikam Batu dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba anggota membuat pemantauan dan pencarian secara 'surface searching' (di permukaan air) sebelum ketibaan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
“Mayat mangsa berusia 16 tahun itu ditemui pada 4.57 petang di dalam air dan dibawa naik ke darat oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohamadul Ehsan berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.