Remaja ditemui mati tergantung di rumah nenek

Vivi Sumanti
Januari 18, 2020 10:21 MYT
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) kerana menggantung diri. - Foto PDRM
Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui mati tergantung di hadapan bilik ruang tamu di rumah neneknya di Kampung Bukit Sawa Banggol Judah, Machang, pada jam 12 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintenden Ganti Jimmy yang mengesahkan kejadian berkata, mangsa dikatakan pergi ke rumah neneknya secara bersendirian pada Rabu lalu.
Katanya, insiden yang berlaku itu disedari oleh ibu saudaranya yang datang ke rumah itu pada jam 12 tengah hari semalam untuk bertemu dengan emaknya dan terkejut melihat mangsa tergantung di hadapan bilik ruang tamu di tingkat atas.
"Ibu saudara mangsa kemudiannya bergegas ke rumah kakaknya yang terletak tidak jauh dari situ dan memberitahu bahawa anak saudaranya (si mati) menggantung diri di rumah ibu mereka dan memaklumkannya kepada penduduk kampung untuk menghubungi pihak polis," katanya.
Beliau berkata, nenek mangsa tidak menyedari kejadian yang berlaku itu memandangkan dia tidak naik ke tingkat atas rumah berkenaan.
"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Machang untuk bedah siasat.
"Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) kerana menggantung diri,” katanya.
BACA: Cuba gantung diri guna tali nilon, lelaki diarah ke Hospital Permai
BACA: Mayat pemuda reput ditemui tergantung di pondok
BACA: Budak perempuan 10 tahun ditemui mati tergantung pada pemegang tangga

*Di Malaysia, mereka yang berhadapan masalah kemurungan dan memerlukan seseorang untuk mendengar dan berkongsi masalah mereka boleh menghubungi talian bantuan Befrienders di Kuala Lumpur dan Selangor pada talian 03-79568145 atau e-melkan kepada sam@befrienders.org.my
#Machang Kelantan #mangsa #mati #mati tergantung #mayat #menjerut leher #polis #remaja
;