Remaja ditemui lemas selepas memancing bersama ayah, adik tiri
Bernama
Oktober 27, 2022 22:19 MYT
Oktober 27, 2022 22:19 MYT
KUALA LUMPUR: Remaja lelaki yang dihanyutkan oleh arus deras sewaktu cuba menyeberangi sungai selepas memancing bersama bapa dan adik tirinya di Sungai Gong, Rawang dekat sini, Selasa lepas, ditemukan lemas.
Mayat Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 16, ditemui di perangkap sampah Fruit Valley di Bestari Jaya, dekat sini pada pukul 2.30 petang, kira-kira 10 kilometer dari lokasi dia dikatakan hilang selepas dibawa arus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.07 malam semasa ketiga-tiga mereka dihanyutkan arus sungai berkenaan, namun beberapa rakan pemancing berjaya menyelamat bapa serta adik tiri Muhammad Alif.
Beliau berkata sembilan anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.28 malam.
"Bomba menggunakan kaedah pencarian di permukaan, dan operasi pencarian diteruskan sehingga ke hari ini dengan pernambahan 15 anggota, iaitu melibatkan enam dari Pasukan Penyelamat di Air, tujuh anggota polis dan dua dari Unit Dron Penyelamat Bencana Malaysia," katanya kepada Bernama hari ini.
Norazam berkata pencarian turut diperluaskan ke kawasan perangkap sampah pertama dari lokasi iaitu kira-kira 800 meter menerusi tambahan bot dari BBP Kota Anggerik.
"Mayat remaja itu ditemui di kawasan perangkap sampah berhampiran Fruit Valley menerusi pencarian oleh BBP Bestari Jaya, dengan dibantu Unit K9, dan operasi pencarian telah dihentikan pada pukul 3 petang tadi," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed ketika dihubungi berkata mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
-- BERNAMA