Remaja ditemui lemas di air terjun selepas hilang dalam hutan

Shuhada Abdul Kadir
Januari 6, 2023 10:20 MYT
Selepas hampir tiga jam operasi dijalankan, pasukan SAR akhirnya menemui mangsa lemas di kawasan air terjun Laman 3 Budaya, Asahan. - Foto Sinar Harian
JASIN: Seorang remaja ditemui lemas di air terjun Laman 3 Budaya, Asahan, di sini awal pagi tadi, selepas dilaporkan hilang dalam hutan berhampiran kawasan rekreasi berkenaan semalam.
Mangsa, Muhammad Radif Azahari, 19 tahun, yang hilang sejak jam 7 petang selepas pergi ke kawasan rekreasi itu bersama seorang rakannya, ditemui oleh anggota bomba dan penyelamat pada jam 1.29 pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jasin (BBP) Jasin, Penguasa Bomba Kanan II, Seleman Tugi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.24 malam sebelum 16 anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Laporan awal diterima daripada seorang rakan mangsa yang dipercayai bersama-sama pergi ke kawasan rekreasi itu petang pada semalam dan setibanya di tempat kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus digerakkan.
“Operasi ini kita lakukan dalam radius 500 meter dari kawasan mangsa dipercayai hilang dan selepas hampir tiga jam operasi dijalankan, pasukan SAR akhirnya menemui mangsa lemas di kawasan air terjun,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut ujar Seleman, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat selain kes berkenaan turut diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak.
Operasi SAR mangsa turut dibantu oleh Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
#lemas #air terjun #hilang dalam hutan #Laman 3 Budaya Asahan
;