Remaja dipercayai nekad bunuh diri akibat ditegur ibu sering pulang lewat
Intan Zalila Baharudin
Ogos 8, 2018 19:36 MYT
Ogos 8, 2018 19:36 MYT
Akibat ditegur oleh ibunya kerana sering pulang lambat dari sekolah, seorang remaja lelaki dipercayai nekad menggantung dirinya di rumah keluarganya di Dataran Buntong Jaya 2, RPT Desa Rishah, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 7.20 petang itu, mangsa ditemui terbaring di lantai bilik tidur rumah tersebut dan didapati seutas tali pinggang teakwando warna putih telah dipotong, sebahagian berada di lantai dan sebahagian masih tergantung di kipas siling.
Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata siasatan awal mendapati ibu mangsa menegur mangsa yang sering pulang lewat dari sekolah.
Bapa mangsa tidak menduga mangsa akan mengambil tindakan dengan menggantung diri di biliknya, katanya.
"Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa telah meninggal dunia sekitar jam 5 petang dan kematian disebabkan gantung diri menggunakan tali pinggang taekwando berwarna putih.
Tiada unsur unsur jenayah dikesan di tempat kejadian.
"Mangsa disahkan telah meninggal dunia pada pukul 7.49 malam oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi," katanya apabila dihubungi Suara Perak.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun pada pukul 8.30 malam.
"Bedah siasat telah dijalankan semalam pada pukul 10 pagi dan dimaklumkan sebab-sebab kematian ialah tekanan ke atas leher konsisten dengan tergantung," tambah beliau.