Remaja dipeluk artis K-Pop belum didenda, hanya dipanggil untuk dinasihat: Jamil Khir

Astro Awani
Januari 17, 2015 20:50 MYT
Gambar fail seorang remaja perempuan bertudung dipeluk oleh salah seorang daripada kumpulan B1A4 dari South Korea di sebuah konsert baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta rakyat Malaysia, khususnya yang beragama Islam, agar tidak menggembar-gemburkan isu berkaitan salah laku beberapa remaja perempuan yang berpelukan dengan penyanyi K-Pop dalam sebuah konsert yang diadakan di ibu negara baru-baru ini.
Jamil Khir berkata, isu tersebut dilihat terlalu sensitif sehinggakan ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu kononnya gadis bertudung yang dipeluk artis kumpulan B1A4 itu telah didenda antara RM1,000 hingga RM1,600.
Katanya, maklumat ini sengaja disebarkan pihak tertentu bertujuan menampakkan pihak yang berwajib tidak melaksanakan tugas mengikut peraturan sedangkan mereka hanya dipanggil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk diberi nasihat dan kaunseling.
"Saya nak sebutkan tidak ada denda yang dikenakan, denda akan dikenakan jika ada pertuduhan.
"Jadi saya pun pelik pertuduhan tidak dibuat, apa pun tak dibuat, tiba-tiba sudah ada denda.
"Ini satu maklumat salah, satu maklumat yang tak betul. Apa yang diputuskan oleh pihak Jawi ialah untuk memanggil memberikan nasihat dan kaunseling kepada anak-anak ini supaya untuk sentiasa menjaga akhlak dan pekerti mereka terutama pada majlis seumpama tersebut," katanya selepas menghadiri majlis penghargaan kecemerlangan KAFA peringkat negeri Perlis di Dewan Warisan di sini siang tadi.
Dalam masa yang sama, Jamil Khir turut menyeru kepada mana-mana pihak yang menganjur program tersebut supaya turut bertanggungjawab atas segala kekhilafan yang telah berlaku.
Ia bagi memastikan tiada hal-hal perlakuan yang diluar daripada adat Melayu yang begitu mementingkan kesopanan serta perlakuan yang tidak bercanggah dari agama Islam.
#B1A4 #Jamil Khir Baharom #K-pop #peluk
;