Remaja dimandikan seperti jenazah lantik peguam - PPMM
Hakim Rahman
Januari 15, 2022 14:12 MYT
Januari 15, 2022 14:12 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang remaja yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana mencuri tabung masjid di Kuang, Rawang dan dimandikan seperti jenazah oleh jemaah masjid berkenaan pada 8 Jan lepas telah melantik peguam untuk mewakili dirinya.
Usaha melantik peguam dari firma Tetuan Hariz Syakinah & Co itu dilakukan dengan bantuan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).
PPPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan terdapat satu prosiding semakan jenayah yang telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di Shah Alam pada 17 Jan ini.
"Atas dasar tersebut dan di atas arahan untuk mewakilinya, maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co. akan hadir di hadapan Mahkamah Tinggi Yang Mulia pada hari tersebut.
"PPMM juga merujuk kepada pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakangnya dan kejadian berkenaan, yang dalam pandangan PPMM adalah tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingannya, mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk diteruskan di media sosial.
"Ini terutamanya dalam menghormati prosiding yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada hari Isnin yang akan datang," katanya.
Justeru, PPMM memohon semua pihak untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan sehinggalah prosiding tersebut selesai.
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid di Kuang memandikan seorang lelaki yang disyaki mencuri tabung masjid berkenaan.
Dalam rakaman video selama satu minit 25 saat itu, jemaah masjid berkenaan dilihat memandikan suspek seperti jenazah, termasuk melumurkannya dengan kapur barus.