Remaja dikhuatiri lemas, terjatuh sungai
Siti Nur Aqilla Omar
Oktober 30, 2021 15:52 MYT
Oktober 30, 2021 15:52 MYT
PONTIAN: Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di belakang Pasar Awam, Pekan Benut, di sini, tengah hari tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Azhar Abdul Jail berkata, dalam kejadian sekitar pukul 11.59 tengah hari itu, difahamkan mangsa bersama bapanya dalam perjalanan keluar untuk ke hospital dari kawasan terbabit.
Katanya, mangsa dikenali sebagai Mohd Akmal Jamaludin, 17.
"Makluman awal daripada bapa mangsa, mangsa bersama bapa mangsa ingin memancing udang di sungai tersebut.
"Namun mangsa tiba-tiba mengalami masalah kesihatan dan dalam perjalanan keluar untuk ke hospital mangsa terlanggar tunggul dan tercampak ke sungai tersebut.
"Apabila bapa mangsa ingin menyelamatkan mangsa, mangsa telah tenggelam dan hilang dari pandangan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azhar, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih giat dijalankan.