Remaja dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam sungai di Lunas
Adie Sufian Zulkefli
November 14, 2019 09:09 MYT
November 14, 2019 09:09 MYT
Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Kulim, dekat Lunas, Kedah pada petang Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan pihaknya menerima panggilan jam 4.57 petang berhubung kejadian.
Menurut beliau, sepasukan anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim tiba di lokasi jam 5.05 petang.
Operasi pencarian mangsa yang dikenal pasti sebagai M Hoemaraj, 16, dilakukan sejak semalam, termasuk pencarian di permukaan air malam tadi.
Mohamadul Ehsan berkata operasi turut menggunakan khidmat Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Sungai Petani.
Beliau berkata pasukan PPDA akan melakukan selaman hari ini untuk mencari dan mengesan kedudukan mangsa.