Remaja dikhuatiri lemas selepas selamatkan lelaki di Teluk Senangin

Abd Razak Mohd Ali
September 24, 2023 14:40 MYT
Pasukan SAR membuat pencarian awal di sekitar pesisir pantai dengan bantuan tiga bot nelayan. - Gambar/ Astro AWANI
LUMUT: Seorang remaja dikhuatiri lemas apabila hilang dihanyutkan ombak selepas menyelamatkan seorang lelaki lain yang hampir lemas di Pantai Teluk Senangin di sini, hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Fahmi Hafizi Mohd Fadzli, 19, beralamat di Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Pusat Kawalan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung dalam kenyataannya berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 10.02 pagi.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal, ketika sedang mandi di laut, mangsa dikatakan terlihat seorang lelaki lemas dan segera menyelamatkannya.
“Lelaki itu berjaya diselamatkan tetapi mangsa pula dipercayai ditarik ombak dan hilang,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurutnya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam skala besar oleh agensi penyelamat tergendala kerana faktor cuaca dan keadaan ombak besar.
Bagaimanapun, katanya, komuniti nelayan membantu pencarian dengan menggunakan teknik lintang pukat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya membuat pencarian awal di sekitar pesisir pantai dengan bantuan tiga bot nelayan.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Hanafi Mohamed Rasidi.
#remaja lemas #teluk senangin #lumut #kes lemas
;