Remaja dikhuatiri lemas, mandi di Sungai Pasir Kubur
Noraniza Kamsani
April 21, 2018 18:58 MYT
April 21, 2018 18:58 MYT
Seorang remaja berusia 19 tahun dikhuatiri lemas selepas mandi-manda bersama beberapa rakannya di kawasan perkelahan Sungai Pasir Kubur, Sungai Lembing, di sini, hari ini.
Kejadian jam 11 pagi itu berlaku ketika mangsa, Muhammad Haziq Hamidi pelajar Kolej Vokasional Kuantan sedang mandi bersama 16 rakannya.
Menurut Timbalan Pengarah Bomba negeri, Mohd Sani Harul, ketika kejadian mangsa secara tiba-tiba dihanyut arus deras sebelum hilang dari pandangan.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian. Rakan mangsa memaklumkan mereka tiba ke kawasan itu pada jam 10 pagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, beberapa rakan mangsa cuba menyelamatkannya, namun gagal.
Katanya, usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota serta bantuan dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
"Usaha mencari dan menyelamat yang disertai penduduk kampung turut melakukan pencarian melalui jalan darat," katanya.