Remaja dikhuatiri lemas ketika memancing di loji air
Sinar Harian
Mac 29, 2022 06:30 MYT
Mac 29, 2022 06:30 MYT
BENTONG: Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai jatuh ke dalam loji air Felda Mempaga dekat Karak di sini pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, ketika kejadian mangsa yang berusia 14 tahun itu sedang memancing di loji tersebut.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama dua buah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 5.53 petang.
"Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bukit Angin juga telah diarahkan ke tempat kejadian.
"Pasukan bomba membuat operasi pencarian di kawasan loji terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, sehingga jam 7 petang Selasa, mangsa masih belum ditemui.
*Berita asal di Sinar Harian