Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai Terengganu
Astro Awani
Jun 3, 2023 08:12 MYT
Jun 3, 2023 08:12 MYT
HULU TERENGGANU: Seorang remaja dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai di Kampung Dusun, Hulu Terengganu pada Jumaat.
Mangsa, Muhammad Adam Syazwan Mokhtar, 15 tahun, dikatakan dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama rakannya, Putra Azim Fahmi Azmi, 16 tahun.
Menurut Putra Azim Fahmi, dia bersama mangsa dan tiga lagi rakan ke sungai itu kira-kira jam 2 petang.
Dia dan Muhammad Adam Syazwan yang mandi manakala tiga yang lain berada di tebing.
"Asalnya, pergi ke pulau di hadapan sana. Kemudian ketika hendak balik, air naik tinggi. Saya sempat naik ke darat. Tetapi dia (Muhammad Adam Syazwan) lemas.
"Ketika itu, air cetek, tetapi tiba-tiba naik dengan mengejut. Saya lari selamatkan diri. Saya beritahu dia, dia nak ikut, tetapi saya tak nampak dia (menyusul)," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Hasmerra Hassan yang mengesahkan kejadian berkata, operasi pencarian mangsa giat dilaksanakan pada radius dua kilometer daripada lokasi terakhir mangsa dilihat.
"Kita bersama pihak bomba telah jalankan outer coverage. Semakan di sekitar tebing di kedua-dua sungai, sebagai usaha berterusan untuk mengesan dan mencari mangsa yang hilang," katanya.
Menurutnya, seramai 77 kekuatan anggota dan pegawai polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dengan dibantu orang awam digerakkan bagi mengesan remaja terbabit.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di air.