Remaja dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai
Sinar Harian
Disember 29, 2023 06:09 MYT
Disember 29, 2023 06:09 MYT
SANDAKAN: Aktiviti sekumpulan remaja beriadah di pantai berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripadanya dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai Batu Sapi, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Mohd Amiruddin Juhardin, 16, dikatakan sedang mandi bersama kira-kira lima lagi rakannya sebelum disedari hilang akibat dibawa arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus@Mohd Nizam Sainkui berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.40 petang.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer dari BBP Sandakan.
"Menurut pengadu, mangsa melakukan aktiviti bermandi-manda di laut bersama rakan-rakannya tetapi disedari hilang selepas tidak bersama mereka.
"Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba segera mendapatkan maklumat dan seterusnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di sepanjang persisiran pantai," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Severinus berkata, mangsa gagal ditemui dan operasi SAR terpaksa ditangguhkan sebelum disambung semula pada Sabtu.
"Operasi ditangguhkan pada jam 8.30 malam dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya. - Sinar Harian