Remaja dakwa dirogol dua lelaki di kawasan semak
Sinar Harian
Jun 24, 2018 18:03 MYT
Jun 24, 2018 18:03 MYT
Seorang remaja perempuan mendakwa dirogol dua lelaki dikenali di kawasan semak berhampiran kawasan pantai di Batu Rakit, Kuala Nerus, pada Khamis lalu.
Kejadian dipercayai berlaku selepas remaja berusia 15 tahun itu keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga pada Rabu lalu sebelum ibunya mengambil keputusan membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya.
Menurut sumber, bagaimanapun sehari selepas laporan polis dibuat, mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 4 petang, di kawasan berhampiran pantai di Batu Rakit, Kuala Nerus, sebelum dibawa ke Balai Polis Batu Rakit, Kuala Nerus.
Jelas sumber, semasa disoal siasat oleh kedua ibu bapanya yang hadir ke Balai Polis sejurus dimaklumkan penemuan remaja itu, mangsa membuat pengakuan dirogol oleh dua lelaki dikenali di lokasi kejadian.
"Ketika menceritakan kejadian, mangsa mendakwa keluar dari rumah sehari sebelum itu dengan menunggang motosikal salah seorang suspek sebelum dibawa ke lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, mangsa mendakwa tidak sedar kejadian seterusnya berlaku kerana selepas menghisap rokok diberikan, dia terus khayal dan langsung tidak sedarkan diri," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut sumber lagi, selain itu, ibunya yang tidak berpuas hati dengan pengakuan tersebut bertindak memeriksa keseluruhan badan mangsa sebelum menemui beberapa kesan bukti remaja itu sudah dinodai.
"Yakin dengan dakwaan anak gadisnya, ibu mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Jelasnya, kedua-dua suspek berjaya ditangkap dan kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.