Remaja cuba tarik wayar maut terkena renjatan elektrik di Bentong

Bernama
Jun 18, 2017 18:04 MYT
Mangsa dilaporkan berada seorang diri di rumah dan cuba menarik lingkaran wayar elektrik ke luar rumah berdasarkan penemuan beberapa lingkaran wayar di tempat kejadian. - Gambar hiasan
Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik di rumahnya di Felda Lurah Bilut, Bentong, malam tadi.
Ketua Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata kejadian berlaku pada pukul 11 malam ketika Muhammad Noor Qayyum Noor Asmadi dikatakan sedang menarik wayar dari dalam rumah ke bahagian luar.
"Semasa kejadian, mangsa dilaporkan berada seorang diri di rumah dan cuba menarik lingkaran wayar elektrik ke luar rumah berdasarkan penemuan beberapa lingkaran wayar di tempat kejadian.
"Seorang rakan mangsa yang berada tidak jauh dari tempat kejadian kemudian terdengar jeritan mangsa dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tanah," katanya ketika diihubungi di sini hari ini.
Menurutnya mangsa kemudian telah dibawa ke Klinik Kesihatan Lurah Bilut sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor yang bertugas.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian pagi tadi.
Mansor berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan melecur di tangan kiri mangsa akibat aliran elektrik dan polis mengklasifikasikan kematian remaja itu sebagai mati mengejut.
--BERNAMA
#mati #meninggal dunia #remaja #renjatan
;