Remaja ceroboh, menyamar petugas hospital direman dua hari

Bernama
Ogos 9, 2024 02:30 MYT
Remaja perempuan yang disyaki menceroboh dan menyamar sebagai petugas hospital di Serdang tiba di Kompleks Mahkamah Sepang dengan pakaian lokap berwarna oren, diiring polis. - Gambar Bernama
SEPANG: Seorang remaja perempuan yang ditahan semalam kerana disyaki menceroboh dan menyamar sebagai petugas hospital di Serdang, direman selama dua hari sehingga esok.
Perintah reman ke atas remaja berusia 14 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan, hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 448 dan 170 Kanun Keseksaan, iaitu menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.
Terdahulu, remaja itu tiba di Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira pukul 8.40 pagi dengan pakaian lokap berwarna oren, diiring polis.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata remaja warga tempatan itu ditahan pada 9 pagi semalam di lobi Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang, dekat sini.
Beliau berkata polis turut merampas baju, seluar scrub dan lanyard hak milik hospital. - BERNAMA
#remaja menyamar #petugas hospital #reman #remaja perempuan direman