Remaja buat provokasi, persoal sokongan kepada rakyat Palestin ditahan polis

Nuzuluddin Abdul Razak
Mei 18, 2021 19:28 MYT
Beberapa individu datang ke rumah keluarga remaja terbabit di Taman Sukma, di Kuching, malam tadi. - Gambar/ Ihsan pembaca
KUCHING: Tindakan seorang remaja lelaki mempersoalkan penentangan rakyat negara ini terhadap serangan udara Israel ke atas Gaza, ditahan polis Sarawak malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, remaja terbabit yang merupakan pemilik akaun Facebook 'Meofisherman' itu turut mencabar dan membuat provokasi ke atas mana-mana individu hingga rumah keluarganya di Taman Sukma di sini diserbu orang ramai, malam semalam.
Malah menurutnya, remaja yang berusia 18 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi.
“Kita telah mendapatkan perintah reman terhadapnya selama empat hari, sehingga 22 Mei,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam satu hantaran video, remaja terbabit tanpa menyembunyikan identitinya mencetuskan kebencian apabila mempersoalkan sokongan umat Islam terhadap Palestin dan mendakwa mereka yang melakukan sokongan tidak cukup ilmu.
Malah dalam beberapa video yang tular, remaja terbabit bukan sahaja cuba menjelaskan pendiriannya, malah sempat dipukul oleh beberapa individu yang menyerbu rumah keluarganya.
Selain itu, Aidi berkata pihaknya turut memandang serius insiden lebih 15 individu berkumpul beramai-ramai dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di rumah keluarga remaja itu.
“Malah ada antara mereka ini dikesan tidak menggunakan pelitup muka serta gagal melakukan penjarakan fizikal.
“Untuk ini, pihak polis telah membuka satu lagi kertas siasatan di bawah Peraturan 17 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 kerana telah terkesan melakukan aktiviti terlarang melebihi lima orang berkumpul beramai-ramai.
Aidi menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dan melulu dalam kes seperti ini.
#remaja ditahan #remaja timbul provokasi #Pesuruhajaya Polis Sarawak #Datuk Aidi Ismail #Taman Sukma #Kuching #Sarawak #Polis Sarawak
;