Remaja buat aksi 'wheelie' ditahan polis

Nur Fazlizai Ali
November 23, 2021 05:35 MYT
Aksi remaja melakukan 'wheelie' seperti tular dalam laman sosial Facebook baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang remaja menunjukkan lagak berani menunggang motosikal secara berbahaya dengan membuat aksi ‘wheelie’ di sekitar daerah Kuala Terengganu menempah padah selepas berjaya dijejaki pihak polis.
Remaja yang berusia 19 tahun itu ditahan di rumahnya di Tumpat, Kelantan kira-kira jam 7.05 petang pada Isnin selepas aksinya itu dimuat naik di laman sosial Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, sebelum itu pihaknya mengesan satu rakaman video berdurasi 43 saat menunjukkan seorang lelaki menunggang motosikal jenis Honda EX5 dengan membuat aksi ‘wheelie’ di sekitar daerah ini termasuk kawasan jambatan angkat.
Katanya susulan itu satu laporan polis dibuat sebelum sepasukan pegawai dan anggota JSPT Terengganu dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat ke rumah suspek pada Isnin.
Jelasnya menerusi soal siasat yang dilakukan, suspek mengaku individu di dalam rakaman video berkenaan adalah dirinya manakala motosikal yang digunakan itu milik abangnya.
Ismail berkata suspek mengaku melakukan aksi itu pada 12 November lalu ketika dia bersama beberapa rakannya berkunjung ke Kuala Terengganu.
Beliau berkata susulan itu pihaknya telah
menahan suspek bersama motosikalnya ke IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Ismail, pihaknya sentiasa memantau tingkah laku pengguna jalan raya yang dikesan melanggar undang-undang.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk membuat aksi yang bukan hanya membahayakan diri sendiri tetapi pengguna jalan raya yang lain.
#motosikal #remaja #wheelie #Tular
;