Remaja, belia terlibat dadah akibat daripada masalah dalam persekitaran sosial - AADK
Azib Zikry
Jun 21, 2024 14:15 MYT
Jun 21, 2024 14:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penglibatan remaja dan belia dengan najis dadah berpunca daripada masalah dalam persekitaran sosial.
Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mahadzir Elias berkata, masalah itu akhirnya menyumbang kepada peningkatan penagih baharu.
"Cabaran (atasi dadah) sekarang agak kompeks disebabkan perubahan evolusi dan trend penggunaannya.
"Isu kesejahteraan sosial (merupakan) penyumbang kepada masalah dadah, satunya berpunca daripada permasalahan sosial, manakala ia juga merupakan manifestasi kepada kegagalan sosial.
"Contohnya isu kemiskinan, masalah keluarga dan rumah tangga adalah punca kepada pertambahan isu penagihan dadah," katanya.
Tambahnya lagi angka 65 peratus penagih terdiri daripada kalangan belia dan remaja menunjukkan sesuatu perlu dilakukan segera.
Justeru, memandankan cabaran pencegahan dan penguatkuasaan dadah juga kian berubah mengikut peredaran zaman, gerakan menggunakan tenaga anak muda sebagai ejen perubahan di dalam komuniti perlu digerakkan.
Ia bukan sahaja berupaya meningkatkan kesedaran, malah menggalakkan komuniti bebas dadah.
"Pada masa yang sama juga satu kumpulan akan mengadakan Solidariti IPT di mana AADK akan mengumpulkan 200 orang mahasiswa daripada Universiti Awam dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTA) bagi menyatakan solidariti anak muda di IPT mengenai dadah.
"Tahun ini kita juga ingin menggerakkan mahasiswa kerana mereka berpengetahuan dan berkemahiran menjadi pemimpn masa depan.
"Mereka lebih mengetahui dengan cabaran masa baharu, kerena mereka lebih mengetahui trend penggunaan dadah semasa," katanya lagi.
Perkongsian itu dibincangkan dalam program AWANI Pagi bersempena Sambutan Hari Antidadah Tahun 2024 yang disambut pada 26 Jun ini.