Remaja antara dua rentung dalam nahas jalan raya
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 6, 2021 07:30 MYT
Oktober 6, 2021 07:30 MYT
ALOR SETAR: Dua maut selepas rentung dalam kejadian kebakaran sebuah kereta Perodua Myvi berhampiran lampu isyarat di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, dekat Alor Setar, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.11 pagi tadi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Sewaktu pasukan bomba tiba di lokasi didapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan api marak semasa jentera tiba di lokasi.
"Kebakaran dipercayai berpunca akibat nahas jalan raya yang menyebabkan kenderaan itu terbabas dan terbakar keseluruhan bahagian dalam kereta terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sayani berkata, tindakan anggota BBP Alor Setar mengawal serta memadam kebakaran itu dan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Sebarang Nyoya.
Beliau berkata, api berjaya dipadamkan pada jam 3.25 pagi.
"Komander operasi melaporkan terdapat dua mangsa dalam kereta terbabit dan mangsa yang berada di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan pada jam 4.59 pagi.
"Seorang lagi mangsa yang berada di tempat duduk penumpang berjaya dikeluarkan pada jam 4.55 pagi dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM yang hadir ke lokasi," katanya.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa wanita dikenali sebagai Tan Sun Wen, 19, manakala seorang lagi mangsa dipercayai lelaki belum dikenal pasti identiti.
Sayani berkata, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.