Remaja 19 tahun dikhuatiri lemas
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 29, 2019 23:33 MYT
Ogos 29, 2019 23:33 MYT
“Kalau jadi apa-apa dekat aku, hangpa tolong selamatkan aku.”
Itu pesanan terakhir seorang pelajar tahfiz yang dikhuatiri lemas di sebatang sungai di Kampung Seberang Chegal, berdekatan Istana Anak Bukit, Alor Setar pada petang Khamis.
Mangsa Muhammad Shukri Amri Kadir, 19, dipercayai tenggelam sewaktu cuba menyeberangi sungai bersama tujuh rakan yang lain.
Menurut rakan mangsa Muhammad Saifulnizam Ismail, 18, mereka turun ke sungai untuk mandi selepas selesai kerja memunggah kayu di sebuah rumah yang terletak 300 meter dari sungai itu.
Sebaik berada di dalam air, mangsa yang tidak pandai berenang cuba mengikut rakan lain untuk ke seberang.
Namun, sebaik sampai di bahagian tengah sungai, mangsa dikatakan dilihat terkapai-kapai.
Muhammad Saifulnizam memberitahu, dia cuba untuk menyelamatkan mangsa namun gagal berikutan arus air yang agak deras.
“Dia nak cuba pergi juga (menyeberang). Dalam perjalanan (di pertengahan sungai) dia seorang saja. Dia dah beri pesanan terakhir, sebelum nak teruskan (menyeberang) kalau jadi apa-apa padanya, tolong selamatkan dia.
“Lepas tu bila dah sampai kat tengah (sungai) tenaganya habis. Dia terkapai-kapai. Kami cuba (mendapatkannya), namun dia (sudah) tak bergerak. Macam dia sangkut pada sesuatu apa tak tau,” ujarnya.
Berikutan itu, rakan mangsa yang lain bertindak menghubungi bomba memaklumkan kejadian.
Sementara itu menurut Ketua Zon Kota Setar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, pihaknya menerima panggilan pada jam 2.42 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar tiba di lokasi 2.53 petang.
Beliau berkata, operasi disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Jitra bersama sebuah bot penyelamat dari BBP Alor Setar turut dikerahkan ke lokasi.
“Kita membuat kaedah surface searching (pencarian di permukaan) dan selaman di lokasi yang dimaklumkan kepada kita. Pada masa yang sama juga kita merangka strategi untuk melihat (mengesan) mangsa dan (seterusnya) mengeluarkannya,” ujar Wan Mohd Hamizi.
Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan di lokasi sehingga malam Khamis.