Remaja 18 tahun mengaku peroleh RM5,000 sebulan jual heroin
Bernama
April 18, 2014 10:31 MYT
April 18, 2014 10:31 MYT
Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun mengaku mampu hidup mewah dengan memperoleh keuntungan lebih RM5,000 sebulan hasil menjual dadah.
"Saya mula mengambil dadah sejak berusia 16 tahun...ibu bapa tidak mengetahui tentang kegiatan saya yang mengambil dan menjual dadah ini.
"Ini merupakan kali ketiga saya ditahan pihak polis kerana pada tahun lepas saya telah ditahan di Bukit Jenun, Pendang atas kesalahan mengambil dadah," katanya kepada pemberita selepas ditahan polis di sini pada hari Khamis.
Remaja itu merupakan antara 33 individu ditahan dalam 'Ops Bersepadu' yang dijalankan di Pelantar Ahloo, Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah dekat sini.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kota Setar DSP Mat Akhir Jaafar berkata dalam Ops Bersepadu ini sebanyak 19 penagih dan pengedar dadah warga tempatan serta 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan.
"Kita telah melakukan intipan sebelum melaksanakan operasi ini dan didapati kawasan ini memang menjadi sarang kepada penagih dan pengedar dadah. Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 45 tahun.
"PATI yang ditahan pula terdiri lima warga Myanmar, empat Nepal, satu Thailand, empat China yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun," katanya.
Operasi dari pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari itu melibatkan 214 pegawai dan anggota polis, Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).